Perhimpunan Agung UMNO 2011 telah melabuhkan tirainya. Aku sempat bersama-sama pemerhati yang datang dari seluruh pelusuk negara. Rata-rata mereka adalah orang Melayu yang inginkan perpaduan dan tidak mahu hak Melayu diperkecilkan.
Di sini, aku melihat semangat perpaduan. Aku duduk di hadapan skrin besar untuk mendengar ucap tama dari Presiden dan usul-usul yang telah dikemukakan oleh para perwakilan yang berbahas di hadapan ribuan mata, termasuk aku.
Suatu semangat yang aku rasakan agak luarbiasa bila menyanyikan lagu rasmi UMNO. Iya, ini adalah pengalaman pertamaku, berhimpun bersama serumpun bangsaku. Terbit dalam hati, adakah UMNO masih lagi releven tatkala orang berpusu-pusu inginkan permodenan? Bukan lagi berbicara untuk merampas kuasa dari sang penjajah? Adakah UMNO yang dulunya mahu memperjuangkan kemerdekaan masih boleh diguna pakai.
Ada yang berpendapat, kita sudah merdeka. UMNO tidak lagi diguna pakai lebih-lebih lagi kita hidup dalam masyarakat majmuk. Perjuangan UMNO dulu dan kini tidak boleh dipaksikan atas satu garisan yang sama. Itu pendapat orang.
Putaran masa tetap berlaku. Rakyat Malaysia bertambah dan bertukar wajah. Corak pemerintahan mengikut arus permodenan. Dulu, Melayu hanyalah petani dan nelayan. Tiada erti konkrit atau simen. Kini, Melayu sudah mampu bersaing untuk membina empayar tersendiri.
Rata-rata tonggak sayap UMNO suka mengimbas kembali sejarah terdahulu. Bercerita mengenai hal yang lepas, berterima kasih kepada mereka yang telah berjuang untuk kesejahteraan dan kemakmuran rakyat Malaysia. Iya, perjuangan UMNO dulu dan kini memang banyak bezanya. Dulu, UMNO memperjuangkan kemerdekaan dan bila merdeka, UMNO masih utuh berdiri. Perjuangan mereka mengekalkan kemerdekaan dan hak orang Melayu dikekalkan.
Aku tidak pernah hidup di sebelum kemerdekaan. Aku mungkin tidak dapat menghayati dengan lebih mendalam mengenai kemerdekaan seperti mana mereka terdahulu. Aku lahir di zaman pemerintahan Perdana Menteri Malaysia yang keempat dan kini dibawah Dato’ Najib. Zamanku bukan zaman TV hitam putih. Zamanku Sasame Street, penuh warna-warni. Aku tidak sempat merasa mandi di telaga, apatah lagi bersumbu segala. Nak lampu, tekan sahaja, terang benderang la jawabnya. Hidupku, ku kira selesa biar serba sederhana. Yang aku tahu, mak abah aku bekerja keras untuk kemakmuran kami sekeluarga. Tidak pernah wujud perkataan UMNO dalam kamus hidupku melainkan ketika pilihanraya seusia sekolah rendah. Apa lagi nama-nama pemimpin yang memegang portfolio cabinet. Dr Mahathir sahaja ku kenal. Itu kisah dulu.
Meninjak zaman 1998, ketika DS Anwar Bin Ibrahim dengan kes liwatnya, itulah kali pertama aku menganalisis apa itu UMNO. Kebetulan ketika itu aku belajar sejarah para pejuang tanah Melayu dan Borneo. Ada kalanya aku bercerita dengan rakan-rakan sekolahku. Cerita ‘gula-gula’. Cerita budak-budak hingusan sepertiku tapi ada seorang cikgu mengajakku untuk mengulas kes tersebut. Spotlight tertumpu kepadaku. Kami bercerita dan adakalanya berdebat mengenai kes ini. Separuh masa belajarku bercerita mengenai jeleknya pemimpin kedua ketika itu jika kes itu betul. Masakkan pokok bergoyang kalau tiada anginnya.
Kini, kes itu kembali lagi. Biarpun suhu kepanasan cerita itu agak suam-suam tapi aku masih mengikuti perkembangan kes liwat tersebut. Bukan aku suka cerita liwat tapi aku mau tahu sejauh mana kebenaran mengenai kes ini. Ditambah pula dengan kes bersama wanita Cina yang aku rasakan ada sifat lelucon di situ. Aku mengharapkan internet dan tabloid akhbar pembangkang untuk menyelongkar cerita DS Anwar Ibrahim dan selama pembacaanku, ku rasakan jelek untuk membacanya. DS Anwar Ibrahim antara orang terpelajar di Malaysia, begitu juga dengan anaknya Nurul Izzah. Sebagai rekod, emak aku namakan Nurul pada pangkal namaku kerana mengagumi DS Anwar Ibrahim satu ketika dulu dan berharap agar aku menjadi anak yang pintar kerana DS Anwar Ibrahim dan isteri adalah golongan terpelajar dan tidak mustahil anaknya pun mengikut jejak langkah mereka. Akibat DS Anwar Ibrahim ditahan pada 1998, dapat dirungkai bahawa jatidiri dan perpaduan Melayu amat rapuh. Penubuhan parti politik Parti KeAdilan Rakyat (PKR) mengakibatkan pepecahan Melayu yang agak ketara pada waktu itu hinggakan anak dan ibubapa bergaduh demi memenangkan pendirian FAKTA mahupun AUTA. Penubuhan PKR yang dinaungkan oleh Dr. Wan Azizah pada ketika itu (ikut pemahamanku) ingin membebaskan suaminya dari kes liwat.
Sedari masa beredar, setelah DS Anwar Ibrahim dibebaskan, PKR telah menjadi satu parti politik yang ingin menerajui kerajaan Malaysia. Ia mungkin digeruni oleh barisan kerajaan yang takut Malaysia jatuh ditangan PKR. Pelbagai strategi diatur oleh PKR untuk menambat warga Malaysia termasuklah penggabungan bersama DAP dan PAS. Bila ku perhati, penggabungan ini, seolah-olah wujudnya ketakseimbangan antara 3 parti. DAP lebih memperjuangkan Malaysia-Malaysian dan corak pemerintahan seperti Singapura. PAS pula ingin melihat Malaysia menjadi negara Islam. Aku sering tertanya-tanya, di mana pendirian mereka selepas penggabungan dan hingga sekarang perjuangan mereka tidak jelas dan matlamat mereka selepas penggabungan adalah lebih kabur.
Ada yang sedar, penggabungan ini tidak menjamin kesejahteraan Melayu. Dan atas sebab itu Melayu yang dulunya menyokong pembangkang telah kembali di bawah payung UMNO pertubuhan rasmi Melayu yang bermati-matian mengekalkan hak keistimewaan orang Melayu. Cuba fikir sejenak, pertubuhan mana yang lantang dan mengingatkan keistimewaan hak-hak Melayu? Apa akan terjadi jika keistimewaan orang Melayu di sama rata dengan yang lain? Berapa sangat rizab orang Melayu di Malaysia jika dibandingkan yang lain.
Bila aku baca mengenai komen-komen PKR-DAP-PAS mengenai BN, mereka beranggapan ahli-ahli BN adalah tamak dan segala harta kekayaan di Malaysia jatuh ke tangan kroni-kroni mereka sehingga mereka menjadi kaya raya. Ada kebenaran di situ tapi tidaklah SEGALA dikongsi dengan kroni-kroni mereka sahaja. Berfikirlah secara logik. Aku bagi satu situasi. Andaikan aku dan keluargaku dan kau dengan keluarga kau berada dalam satu kapal. Tiba-tiba kapal kita dipukul ombak yang kuat mengakibatkan hanya kita berdua sahaja yang terselamat dari tercampak keluar ke laut. Siapa patut diselamatkan dahulu? Keluargamu atau keluargaku… Mak mu atau mak aku dulu patut aku selamatkan?
Mungkin ini yang dicemburui oleh PKR-DAP-PAS. Rezeki lebih dan tempias apabila menjadi pemimpin rakyat. Biar bukan sedarah sedaging sekalipun bau-bau bacang pun boleh menjadi senang lempias kesenangan yang bergelar YB. Pelbagai cara mereka untuk mengambil alih tampuk kepimpinan. Perang sosial di alam maya merupaka salah satu cara untuk mengambil hati para pengundi muda untuk memangkah calon-calon untuk pilihanraya kelak. Bendera-bendera politik telah dinaikkan di sesetengah tempat. Entah dapat kelulusan atau tidak, aku tidak tahu. Pandanganku, ini adalah strategi untuk melekatkan memori lambang politik masing-masing agar senang diingat oleh para pengundi baru.
Dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, salah satu cara untuk memikat pengundi adalah dengan meletakkan winnable candidate (‘calon boleh menang’ )pada tiap-tiap tempat bertanding. Bagi aku ada beberapa ciri yang boleh dicalonkan untuk menjadi calon pada pilihanraya akan datang. Antaranya calon seharusnya mesra rakyat , mencari penyelesaian tiap permasalahan dan mampu mendengar keluh-kesah tanpa sebarang krompomi. Calon juga seharusnya peka dengan situasi sekeliling ‘tanah jagaan’nya dan juga peka dengan perkembangan dunia siber dan tidak menolak pembaharuan yang kreatif-kritis dan mempertimbangkan cadangan dan komen yang dikemukakan oleh rakyat. Faktor umur seharusnya tidak menjadi penghalang untuk menjadi calon andai calon tersebut menjadi favourite dan boleh menang
Untuk mengekalkan keharmonian sesama Melayu memang sukar lebih-lebih lagi ramai golongan terpelajar lahir dikalangan Melayu dan pelbagai ideologi diperjuangkan oleh mereka. Pemimpin yang ada kena kreatif untuk menambat hati mereka agar mereka lebih memahami pengertian harmoni dan bersatu sesama Melayu. Hanya dengan bersatu kita teguh. Sokonglah mereka yang memperjuangkan dan menaikkan Melayu dan bukan menjahanamkan Melayu. Semoga yang batil disingkir dan adil terukir sinar. Insya Allah..
Ini sahaja yang dapat aku coretkan. Teringat wakil Puteri Negeri Sembilan Wan Salwati yang berucap di Perhimpunan Agung UMNO. Semangat hingga aku membeli CD perbahasannya.
0 pengomen:
Post a Comment